Salam perkenalan. Semoga laman blog ini akan dapat sama-sama dimanfaatkan sebaik mungkin. InsyaAllah. Laman ini direka dengan kepelbagaian intipati dari masa ke semasa mengetengahkan pelbagai isu duniawi dan ukhrawi. Bukan hanya sedalam mencari keberkatan hidup dari ilmu yang diperolehi sejak kecil hingga kembali ke sisiNya... tapi bermula dengan kasih sayang insan yang bernama mama dan abah, dan perjanjian hidup yang ditetapkan sewaktu Yang Esa meniupkan ruh ke dalam jasadnya.
Allahyarhamah Bonda Hjh Maznah Hj. Daud & Ayahanda Tuan Hj. Che Rose Cha
Suatu ketika,
Mamaku termenung lagi... merenung jauh perjalanan hidupnya... suami yang sangat dikasihinya... dan anak-anak yang dikandung, disusu, ditatang dan diasuh agar mampu hidup bahagia di alam sementara yang penuh dugaan dan pancaroba ini. Ibu ini memangis lagi tatkala hatinya gundah gulana... merindui anak-anak yang jauh di rantauan... memujuk hati berdoa pada Illahi. Ibu ini menangis lagi tatkala awan kelam di kaki langit... tatkala hujan mula mencurah ke bumi... mengapa? ibu ini menangis sehebat hujan yang turun walau tiada setitis air pun di pipinya... ibu ini resah, gelisah memandang nun di kejauhan... menanti kekasih hati yang turun menacari rezeki seawal fajar menyingsing, bergelumang dengan pelbagai onak dan duri demi memberi kebahagiaan buat anak dan isteri. oh... ibu ini menangis lagi, entah mengapa fikiran tak keruan, tertanya-tanya berita putera dan puteri, anak-anak yang dikasihi... basahkah mereka ditimpa hujan... berpayungkah mereka di kejauhan... bagaimana hidup di rantauan... cukupkah mereka minum dan makan.
Suatu ketika,
Mamaku menangis lagi... tatkala anak-anak pulang ke sisi bersama anak, suami dan isteri... berduyun ke sana sini.. makan dan minum tak henti-henti. Ibu ini bagai ingin melonjak riang, ibu ini bagai mahu menghalang pulang, ibu ini merasa kebahagiaan, ibu ini diubat rindu yang mendatang, ibu ini terasa sayang... inilah kebahagiaan... inilah kesyukuran... inilah nikmat Tuhan.
Hari ini,
Tiada lagi tangisan sendu... tiada lagi tangisan rindu... tiada lagi senyuman ibu... tiada lagi tempat mengadu selain ayahanda yang sedih dan pilu. Dialah ayah...dialah ibu. Hari ini, hati semakin sayu... hati semakin rindu... hati semakin pilu... hanya berbekal LA ILAHAILLA ALLAH... kuatkanlah keimananku... kuatkanlah jiwa yang pilu... kuatkanlah ayahku... kuatkanlah adik-adikku. Semoga jiwamu ibu tenang dan damai... semoga Ruhmu ibu dipayungi keredhaanNYA... semoga dikau bersemadi dalam senyuman dan kebahagiaan... semoga dikau ditemani Taman Firdausi yang damai. Semoga sentiasa dikasihi, dirahmati, diberkati dan dilindungi Allah yang tiada pengganti... Ya Rahman... Ya Rahim... ya Rabbal Alamin...
AL-FATIHAH
Semoga Ruh Allahyarhamah Bonda Hajah Maznah Binti Haji Daud sentiasa dicucuri RahmatNYA... Amin
